AMK Sabah Persoalkan Niat Sebenar Assaffal Keluar Kenyataan Berhubung Isu Ambalat

AMK Sabah Persoalkan Niat Sebenar Assaffal Keluar Kenyataan Berhubung Isu Ambalat

0
SHARE
Zaidi
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil ( Sumber Foto: Ihsan AMK Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Angkatan Muda Keadilan Sabah mempersoalkan niat sebenar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian atas tindakannya mengeluarkan kenyataan berhubung isu Ambalat, baru-baru ini.

Ketuanya, Zaidi Jatil berkata tuduhan beliau yang menyatakan kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak kerajaan negeri Sabah untuk menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia jelas merupakan satu fitnah.

“Ini merupakan satu fitnah dan pembohongan yang jelas dilemparkan kepada kerajaan persekutuan termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Isu ini telah dijelaskan berkali-kali termasuk oleh Perdana Menteri sendiri dan terbaru oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang dengan jelas menyebut perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia hanya membabitkan laut wilayah dan tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

“Justeru dari mana maklumat seperti yang didakwa Assaffal yang menyatakan Ambalat diserahkan kepada kerajaan Indonesia?

“Kenyataan yang mengelirukan ini jelas dilihat sebagai cubaan menimbulkan kebencian terhadap kerajaan persekutuan serta boleh mengganggu gugat keharmonian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Disamping itu, Zaidi turut berkata kerajaan sentiasa berhati-hati dalam apa sahaja perjanjian terutama membabitkan sempadan negara

Katanya, ini kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 dan kerajaan perpaduan sentiasa komited melindungi kedaulatan negara.

“Assaffal perlu memohon maaf atas tindakan beliau terutama selepas mengeluarkan kenyataan tidak benar yang bakal membakar sentimen anti persekutuan.

“Jelas tindakan ini akan menimbulkan kegusaran awam di kalangan rakyat Sabah,” katanya.