Banjir Sabah: 3,316 Penduduk Terjejas, 25 PPS Dibuka Setakat 12 Tengah Hari...

Banjir Sabah: 3,316 Penduduk Terjejas, 25 PPS Dibuka Setakat 12 Tengah Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 3,316 penduduk daripada 1,417 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas akibat bencana banjir di empat daerah di Sabah setakat jam 12 tengah hari, hari ini.

Berdasarkan infografik rasmi Perkembangan Harian Bencana Negeri Sabah hari ini, setakat jam 12.00 tengah hari, sebanyak 25 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka melibatkan daerah Pitas, Paitan, Tawau dan Kota Belud.

Daripada jumlah keseluruhan itu, daerah Pitas merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,171 penduduk daripada 1,078 KIR yang kini ditempatkan di beberapa PPS, dengan trend keseluruhan menunjukkan peningkatan.

Di Paitan, seramai 850 penduduk daripada 268 KIR masih berada di PPS, namun jumlah mangsa menunjukkan penurunan berbanding laporan terdahulu. Sementara itu, Tawau mencatatkan 245 mangsa daripada 55 KIR dalam keadaan kekal.

Bagi Kota Marudu, semua PPS telah ditutup sepenuhnya setakat jam 11 pagi hari ini selepas keadaan banjir pulih, manakala satu insiden kebakaran di Kota Belud melibatkan enam mangsa daripada satu KIR direkodkan dalam keadaan kekal.

Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan setakat ini dan tiada mangsa yang terperangkap di luar PPS.

Menurut JPBN Sabah, pertambahan satu PPS baharu direkodkan di daerah Paitan, manakala beberapa PPS di Kota Marudu ditutup selepas mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“JPBN Sabah melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) terus memantau perkembangan semasa dan menyelaras gerak kerja bersama agensi di peringkat daerah bagi memastikan kebajikan mangsa terjejas sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi JPBN Sabah dari semasa ke semasa.