Kerjasama Kukuh Kerajaan–FCAS Perkukuh Kesejahteraan Sabah

Kerjasama Kukuh Kerajaan–FCAS Perkukuh Kesejahteraan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semangat kerjasama yang kukuh antara kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat seperti Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) mampu membantu memelihara kesejahteraan negeri ini.

Beliau berkata, melalui kerjasama erat itu, kestabilan sosial dapat diperkukuh sekali gus memacu kemajuan ekonomi rakyat.

“Saya percaya melalui semangat kerjasama ini kita akan terus dapat memperkukuh kestabilan sosial dan memajukan ekonomi rakyat.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang sentiasa menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan seimbang, agar semua kaum dan komuniti mendapat manfaat daripada kemajuan negeri,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Dr. Joachim Gunsalam pada Pesta Angpau FCAS yang berlangsung di Dewan Hakka, di sini, semalam.

Menurut Hajiji, FCAS yang menghimpunkan 160 persatuan Cina dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memainkan peranan penting dalam memelihara budaya, memperkukuh perpaduan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

“Pesta Angpau seperti yang dianjurkan FCAS bukan sekadar acara perayaan, tetapi lambang perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Kehadiran kita pada malam ini mencerminkan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan negeri amat menghargai kerjasama erat yang terjalin antara kerajaan dan FCAS dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan masyarakat, kegiatan kebudayaan serta pembangunan komuniti di negeri ini.