MCMC Bakal Buka Kertas Siasatan Terhadap Awesome TV

MCMC Bakal Buka Kertas Siasatan Terhadap Awesome TV

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bakal membuka satu kertas siasatan terhadap saluran televisyen swasta Awesome TV, susulan laporan mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MCMC menjelaskan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.

Susulan aduan diterima berhubung laporan terbabit, pihak MCMC juga sudah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Awesome TV, semalam.

“Apabila kertas siasatan itu lengkap, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” JElas dalam kenyataan media terbabit.

Jika sabit kesalahan, menurutnya, boleh dihukum seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 242 akta berkenaan, iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC dalam pada itu turut menegaskan pihaknya memandang serius aduan pengguna mendakwa saluran berita swasta menyebarkan laporan yang mendatangkan kebimbangan penjawat awam.

MCMC dalam pada itu turut menyatakan komited dalam usaha mempertingkat tahap pematuhan pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I).

Katanya, langkah itu bagi memastikan kandungan yang disiar mencerminkan budaya, identiti dan norma masyarakat, selaras dengan AKM 1998 dan Kod Kandungan.

“Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan-peraturan berkaitan di bawahnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Antara tatacara dan proses aduan ialah memanggil pihak penyiar yang diadukan supaya tampil mengemukakan penjelasan, bagi menentukan bentuk tindakan penguatkuasaan yang akan diambil,” katanya.