KOTA KINABALU: Empat lelaki maut selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar sebuah lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan di Taman Jaya Diri, Jalan Sepanggar, awal pagi Ahad.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, PKPgB Mohd Hannis Moktar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 pagi dan tiba di lokasi pada jam 2.59 pagi.
“Keempat-empat mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan. Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.50 pagi, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
Tiga mangsa masing-masing berusia 21, 23 dan 24 tahun, manakala umur seorang lagi belum diperoleh. Identiti mereka juga belum diketahui.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi yang membabitkan sembilan anggota dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas tamat pada jam 3.55 pagi.






