BINTULU, SARAWAK – Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LPBS) bagi Fasa 1 dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemajuan projek tersebut telah mencapai 78 peratus (78%) ketika ini.
Beliau berkata, fasa satu projek LPBS ini melibatkan jajaran keseluruhan sepanjang 786km yang dibahagikan kepada 11 pakej kerja dari Telok Melano ke Miri.
“Setakat ini, kita telah melaksanakan pembukaan beberapa bahagian (pakej kerja) termasuk Telok Melano ke Sematan, Serian ke Balai Ringin dan Julau ke Sibu…
“Kami menyasarkan fasa satu projek dari Telok Melano ke Miri, akan siap dan dibuka sehingga akhir tahun ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Jajaran Seksyen Nyabau Pakej Kerja 10 LPBS yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
Ujarnya, pembukaan Jajaran Seksyen Nyabau ke Bakun adalah bahagian keempat di bawah pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.





