KOTA KINABALU: Bekerja sambilan dalam perkhidmatan bankuet, menjadi kru acara dan pembantu penyelidik menjadi ikhtiar Nurhaidah Azlan, 27, membiayai pengajian sarjananya di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tanpa menjadikan kesempitan hidup sebagai penghalang.
Kini, bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) sebanyak RM10,000 yang diterimanya meringankan beban itu, sekali gus membolehkannya memberikan lebih tumpuan kepada pengajian.
Mesra disapa Haida, pelajar Sarjana Sosiologi dan Antropologi di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu berkata, pengajian peringkat sarjana memerlukan perbelanjaan yang melangkaui yuran semester.
Antaranya termasuk bayaran viva sebanyak RM1,000, penerbitan makalah serta perbelanjaan berkaitan penyelidikan.
“Untuk menyediakan jumlah itu memang berat apabila tiada bantuan. Tetapi apabila ada bantuan seperti ini, urusan penerbitan makalah, viva dan kos lain dapat dibuat dengan lebih mudah.
“Bantuan ini sangat membantu saya untuk lebih fokus. Yuran pengajian juga dapat ditampung sehingga habis semester, jadi saya boleh memberi tumpuan kepada perbelanjaan kehidupan harian,” katanya ketika ditemui Sabah News selepas Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Menara Kinabalu pada Jumaat.
Dibesarkan di Kampung Likas, Haida merupakan anak keempat daripada enam beradik. Bapanya dahulu bekerja sebagai pemandu, manakala ibunya suri rumah.
Menurutnya, melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bukan sesuatu yang begitu didedahkan dalam keluarganya ketika beliau membesar, dengan menamatkan persekolahan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dianggap sudah memadai.
Namun, beliau mahu keluar daripada kebiasaan itu dan membuktikan bahawa latar belakang keluarga tidak menentukan sejauh mana seseorang boleh melangkah dalam pendidikan.
“Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang tidak berapa senang, itu bukan penghalang untuk maju ke hadapan.
“Sebab itu saya sambung diploma, kemudian ijazah dan sekarang sarjana. Saya tidak mahu membiarkan diri saya terhalang disebabkan keadaan ekonomi,” katanya.
Haida yang kini berada pada tahun pertama, semester kedua pengajiannya berkata, keperluan mencari pendapatan sendiri menuntutnya mengurus masa dengan baik antara pekerjaan dan tuntutan akademik.
Selain bekerja sambilan dalam perkhidmatan bankuet dan sebagai kru acara, beliau turut menjadi pembantu penyelidik di UMS bagi menampung pengajian.
“Saya perlu mengatur masa. Apabila tahu saya perlu fokus mencari duit, saya akan mempercepatkan tugasan pengajian yang boleh disiapkan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman berniaga secara kecil-kecilan sejak zaman persekolahan turut membentuk sikap berdikari dan kesungguhannya mencari peluang.
Dalam pada itu, Haida merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas bantuan pendidikan yang diterimanya, termasuk komputer riba serta bantuan TPNS yang disifatkan sebagai sokongan berterusan terhadap perjalanan pengajiannya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pelajar supaya aktif mencari maklumat dan merebut peluang bantuan yang tersedia.
“Saya sendiri tidak berhenti mencari. Kalau tidak cari, kita tidak juga dapat. Apa-apa pun kena berusaha,” katanya.






