Tiga Lelaki Dicekup Bersama 40 Kilogram Syabu di Penampang

Tiga Lelaki Dicekup Bersama 40 Kilogram Syabu di Penampang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya membongkar satu rangkaian pengedaran dadah berskala besar apabila merampas hampir 39.5 kilogram dadah jenis syabu dalam beberapa operasi berasingan di sekitar Penampang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan kejayaan tersebut adalah hasil risikan berterusan, koordinasi berkesan pasukan operasi serta maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

Menurut beliau, serbuan utama dilakukan pada 6 Januari lalu kira-kira jam 11.26 malam di sebuah kediaman di Taman Donggongon.

“Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika mengendalikan beberapa bungkusan dan kotak di ruang tamu rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 40 bungkusan plastik lutsinar bersaiz besar berisi hablur jernih yang disyaki methamphetamine.

“Nilai rampasan dianggarkan mencecah RM1.26 juta dan dipercayai mampu membekalkan lebih 112,000 kali penggunaan,” katanya Dalam sidang media, di sini, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. Kedua-dua suspek kini direman sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, siasatan lanjut membawa kepada satu lagi tangkapan pada 2 Januari di sebuah apartmen di kawasan Beverly Hills, Penampang.

Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan dan polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi dan ketamin dengan anggaran berat keseluruhan 283.71 gram, bernilai hampir RM26,000, selain sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza.

“Polis turut mendedahkan sindiket ini dipercayai menggunakan laluan laut serta perkhidmatan penghantaran bagi mengedar dadah, dengan bahan terlarang disorok dalam barangan harian seperti papan pemotong,” Jauteh berkata.