Turkiye Sedia Tawarkan Daging Dan Buah-Buahan Untuk Dieksport Ke Malaysia

Turkiye Sedia Tawarkan Daging Dan Buah-Buahan Untuk Dieksport Ke Malaysia

0
SHARE
Mohamad Sabu
Sesi pertemuan antara Duta Besar Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yüksel dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang ( Sumber Foto: Laman media sosial Menteri KPKM )

KUALA LUMPUR – Turkiye bersedia menawarkan sumber daging, ayam dan produk ayam, madu serta buah-buahan untuk dieksport ke Malaysia

Kesediaan itu dinyatakan dalam pertemuan antara Duta Besar Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yüksel dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini, semalam.

KPKM dalam satu kenyataan media berkata pertemuan kali pertama itu bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutamanya dalam bidang pertanian moden dan penyelidikan pertanian.

Menerusi kenyataan terbabit, Malaysia dan Turkiye juga bersedia untuk memperkukuhkan kerjasama perdagangan dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

“Turkiye juga bersedia berkongsi kepakarannya dalam bidang teknologi pertanian moden dan mekanisasi untuk membantu industri pertanian Malaysia.

“Turkiye adalah rakan dagang pertanian yang berpotensi tinggi untuk Malaysia,” jelas dalam kenyataan itu.

Dalam pertemuan itu, menteri turut menyampaikan rasa simpati susulan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye.

“Pada masa sama, Turkiye turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Malaysia atas bantuan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye,” katanya.