Wujudkan Zon Pelaburan Khas Untuk Sektor Pelancongan – Kurniawan

Wujudkan Zon Pelaburan Khas Untuk Sektor Pelancongan – Kurniawan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Mohd Kurniawan Naim Moktar mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan zon pelaburan khas untuk sektor pelancongan.

Jelasnya, fokus utama adalah untuk meningkatkan kerjasama serta sesi libat urus antara industri pelancongan dan pelabur asing yang berminat untuk melabur di Sabah.

“Saya yakin Sabah akan terus menjadi pilihan pelabur asing sekiranya semua pihak dapat menjalin kerjasama yang baik serta membantu memudah cara proses kemasukan mereka ke negeri ini…

“Negeri Sabah mempunyai potensi yang tinggi untuk dimajukan khususnya dalam sektor pelancongan, oleh itu, kerajaan perlu menggunakan kaedah baru, yang bukan saja bersifat mesra pelabur tetapi juga tata cara yang penting dalam memudahkan urusan pelaburan.

“Di samping itu, prosedur yang menyukarkan para pelabur untuk membuat pelaburan di Sabah juga perlu ditambah baik supaya mereka gembira untuk menjalankan urusan di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau yakin tindakan proaktif kerajaan negeri sangat penting dalam meletakkan Sabah sebagai destinasi pilihan pelaburan berimpak tinggi.