Lapan Rumah Musnah Dalam Kebakaran di Inanam, Seorang Maut dan Seorang Cedera

Lapan Rumah Musnah Dalam Kebakaran di Inanam, Seorang Maut dan Seorang Cedera

0
SHARE

KOTA KINABALU: Satu kejadian kebakaran besar melibatkan lapan buah rumah telah berlaku di Kampung Kalansanan, Inanam petang semalam yang mengakibatkan seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 4.58 petang dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.

Menurut Pegawai Operasi, Saflan Sapri, operasi pemadaman melibatkan kekuatan 40 anggota bomba dari BBP Lintas, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang, serta penggunaan lima jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT), satu Light FRT, dua Water Tanker dan satu EMRS.

Kebakaran dilaporkan memusnahkan sepenuhnya tujuh buah rumah jenis separuh kekal, manakala satu lagi rumah terbakar sebanyak 50 peratus dan api berjaya dikawal pada jam 6.08 petang.

“Seorang mangsa, lelaki berusia 78 tahun, cedera selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” kata Saflan.

Bagaimanapun, pada jam 8.20 malam, pasukan bomba menemui mayat seorang lelaki yang rentung berhampiran stor rumah pertama yang terbakar. Mangsa dikenalpasti sebagai Steve Jose Mardona, 39 tahun.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.00 pagi hari ini.

Turut hadir memantau operasi ialah pegawai kanan dari Ibu Pejabat JBPM Sabah termasuk Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Lizalman Abu, serta Penolong Pengarah Operasi Negeri, Muhammad Taqiuddin Victor Doon.

Punca kebakaran masih dalam siasatan oleh Unit Forensik JBPM dengan kerjasama agensi lain termasuk PDRM dan Sabah Electricity.