Kerjasama Semua Pihak Diperlukan Tangani Isu Banjir – Dr. Jeffrey

Kerjasama Semua Pihak Diperlukan Tangani Isu Banjir – Dr. Jeffrey

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, menegaskan bahawa kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, masyarakat, sektor swasta, NGO, dan perancang pembangunan, adalah kunci untuk menangani isu banjir secara berkesan.

Beliau merujuk kepada penyelenggaraan parit sepanjang 170.5KM oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang kini dilakukan tiga kali setahun dengan kos RM40 juta, tetapi masih tidak mencukupi.

Katanya, projek tebatan banjir yang sedang berjalan juga tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah banjir di Penampang dan Putatan.

“Kita perlukan lebih banyak pembiayaan untuk meningkatkan kekerapan pembersihan sistem perparitan serta perancangan pembangunan yang lebih baik,” katanya dalam sebuah kenyataan, semalam.

Beliau turut menyebut bahawa Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog (PLSB Sg Moyog) sedang dilaksanakan dengan kos RM297.96 juta, namun projek untuk kawasan tengah Sungai Moyog dan Sungai Petagas masih belum diluluskan.

Jeffrey turut menekankan kepentingan pemuliharaan alam sekitar dalam menangani perubahan iklim, yang menjadi punca utama peningkatan hujan lebat.

“Jika kita hanya bertindak balas dengan membesarkan sistem perparitan tanpa mengatasi punca sebenar, masalah ini tidak akan selesai,” katanya, sambil menggesa masyarakat untuk tidak membuang sampah merata-rata bagi mengelakkan saliran tersumbat.