TUARAN: Datang memeriahkan karnival, berpeluang pulang sebagai pemilik sebuah kenderaan! Itu antara tarikan Karnival Tamu Belia Tuaran 3.0 yang bakal berlangsung pada 28 Oktober hingga 1 November 2026 di Padang Istiadat Daerah Tuaran.
Karnival selama lima hari itu dianjurkan oleh Tuaran Youth Town Club (TYTC) bersama Pejabat Daerah Tuaran dan agensi kerajaan, menghimpunkan pelbagai aktiviti sukan, hiburan, keusahawanan serta komuniti.
Kemeriahan turut diserikan dengan persembahan artis dari Malaysia dan luar negara, selain persembahan kebudayaan dan busking sepanjang karnival.
Antara acara tumpuan ialah Rhythm of Tuaran, RUN Fest SPORTINK, pertandingan e-sukan, Borneo Skuter Day dan pameran kereta atau autoshow.
Pengunjung turut boleh menikmati Jualan Rahmah, car boot sale, gerai jualan serta ekspo dan pameran agensi. Pertandingan STEM peringkat negeri, pertandingan mewarna, sukan tradisional dan saringan kesihatan turut disenaraikan dalam atur cara.
Program juga menampilkan Town Hall Belia Tuaran bersama SEDIA serta pelancaran SPORTINK.
Menambah keterujaan, sebuah kenderaan ditawarkan sebagai hadiah cabutan bertuah yang bakal menjadi milik pengunjung bertuah.
Berdasarkan atur cara, cabutan bertuah percuma dijadualkan sepanjang karnival, manakala sesi cabutan bertuah melalui pembelian tiket berlangsung pada malam 31 Oktober.






