Op Pluto Timur: Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Bom Ikan

Op Pluto Timur: Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Bom Ikan

0
SHARE
Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek menemui 300 peledak atau 'detonator' serta 3 gulungan sumbu yang disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan...

KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kudat merampas sebuah bot pam tidak berdaftar yang melakukan aktiviti bom ikan di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan di perairan Pulau Lingkutan, Kudat pada jam lebih kurang 7.55 pagi, semalam.

Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, bot terbabit bergerak laju menuju ke kawasan pesisir pantai dan kelihatan dua orang suspek bertindak terjun ke laut untuk melarikan diri setelah bot yang dinaiki tersangkut di kawasan cetek.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui 300 peledak atau ‘detonator’ serta 3 gulungan sumbu yang disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan…

“Bot ditahan dan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat bagi siasatan lanjut,” katanya.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah 17 ribu ringgit. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

Usaha mengesan pemilik serta pelaku sedang dijalankan. Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes atau sebarang salah laku jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858.