PRU15: Anak Tun Dr Ismail Akan Lawan Zahid Hamidi ‘Ke Mana Sahaja...

PRU15: Anak Tun Dr Ismail Akan Lawan Zahid Hamidi ‘Ke Mana Sahaja Dia Lari’

0
SHARE
Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail...

KUALA LUMPUR – Tawfik Ismail, anak sulung kepada bekas timbalan perdana menteri Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman telah menyatakan hasrat beliau untuk bertanding menentang presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut itu berkata, beliau akan menjadi antara barisan calon gerakan Gerak Independent (GI) dan berhasrat untuk menentang Zahid di Bagan Datuk, Perak.

Tambah beliau, langkah tersebut diambilnya sebagai cara yang dianggap cukup kuat dan berkesan untuk menghantar mesej antirasuah kepada orang ramai.

“Saya akan lawan (Ahmad Zahid) di Bagan Datuk atau di mana sahaja dia akan lari. Kempen saya adalah rakyat lawan rasuah…

“Saya akan menyeru semua rakyat Malaysia yang benci rasuah untuk melihat perjuangan saya sebagai perjuangan mereka,” katanya.

Tawfik, 71, memaklumkan dia akan bertanding sebagai calon bebas di bawah platform Gerak Independent (GI).

Menjelaskan lebih lanjut percaturan politiknya, Tawfik berkata, penting untuk dia mencabar seseorang yang bertaraf pemimpin agar mesej yang mahu disampaikan benar-benar berkesan.

Tawfik juga menjelaskan dia memang tidak berniat untuk memecahkan undi PH sebaliknya mahu membawa mesej antirasuahnya ke kawasan Melayu.

“Orang Melayu mesti mengambil semula kompas moral dan perlu ada seorang Melayu untuk menunjukkan jalan tersebut,” katanya.