KOTA KINABALU: Sabah berharap dapat memperkukuh kerjasama dua hala dengan Itali, khususnya dalam meneroka peluang pelaburan dalam sektor minyak dan gas, pelancongan serta pendidikan tinggi.
“Kita mengalu-alukan minat kerajaan dan komuniti perniagaan Itali untuk meneroka lebih banyak peluang perniagaan di Sabah,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Itali ke Malaysia, Raffaele Langella, di Menara Kinabalu dekat sini hari ini.
Ditemui selepas kunjungan hormat itu, Langella berkata, Itali sangat berminat untuk meneroka peluang yang terdapat di Sabah.
“Minat dalam kalangan pihak di Itali amat besar. Mereka mengetahui terdapat banyak peluang yang boleh diteroka di Sabah. Namun, mereka memerlukan bantuan, mungkin dari segi mengenal pasti peluang pelaburan. Oleh itu, saya telah berbincang dengan Ketua Menteri mengenai cara untuk melaksanakannya.
“Tahun depan merupakan Tahun Melawat Sabah 2027, jadi kami juga ingin menghulurkan bantuan dalam usaha mempromosikan Sabah,” katanya.
Langella berkata, Itali turut berminat untuk meneroka peluang kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi di Sabah.
“Kerjasama antara universiti merupakan bidang yang sangat menarik dan berpotensi besar. Universiti-universiti di Itali kini semakin berdaya saing dan amat berminat untuk mengembangkan aktiviti mereka di rantau ini, khususnya di Sabah,” katanya.
Beliau berharap pertemuan itu akan membuka jalan ke arah hubungan yang lebih erat serta menghasilkan keputusan yang bermakna pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.






