Trend Kes COVID-19 Sabah Terus Meningkat Seperti Yang Diramalkan

Trend Kes COVID-19 Sabah Terus Meningkat Seperti Yang Diramalkan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jumlah jangkitan baharu meningkat daripada 39 kes pada Selasa kepada 57 kes kelmarin iaitu pertambahan sebanyak 18 kes.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan kes selepas sambutan Aidil Fitri dan Kaamatan seperti yang telah diramalkan.

“Secara keseluruhan, lebih banyak daerah mencatatkan pertambahan jangkitan baharu berbanding daerah-daerah yang mencatatkan penurunan walaupun dalam kadar yang marginal…

“Sebanyak 10 daerah ‘bersih’ daripada sebarang jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu dan lima (5) daerah masing masing mencatatkan satu (1) kes baharu sahaja,” katanya dalam laporan harian kes.

Beliau berkata Kota Kinabalu merupakan satu-satunya daerah yang mencatatkan kes baharu dua (2) angka dengan jumlah jangkitan baharu yang lebih tinggi sebanyak 18 kes (+7).

Tuaran juga merekodkan pertambahan kes harian daripada dua (2) kes kelmarin kepada tujuh (7) kes hari ini, Penampang 4 kes (+2) dan Sandakan 4 kes (+4).

Lahad Datu, Putatan, Ranau dan Tawau masing-masing mencatatkan tiga (3) kes baharu. Dua (2) kes baharu direkodkan di Beaufort, Kuala Penyu dan Papar.

“Orang ramai diperingatkan agar sentiasa berhati hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa menyambut perayaan khususnya jika ia melibatkan penyertaan bilangan orang yang ramai…

“Peratusan jangkitan sporadik masih tinggi iaitu 63 peratus daripada semua kes baharu yang dilaporkan hari ini. Risiko jangkitan tetap tinggi,” tegasnya.

Seramai dua (2) orang pesakit berada dalam Kategori 4 dan seorang (1) dalam Kategori 5.