SAGA X: Kunak, Kuala Penyu dan Tuaran Pamer Peningkatan Prestasi

SAGA X: Kunak, Kuala Penyu dan Tuaran Pamer Peningkatan Prestasi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Daerah Kunak, Kuala Penyu dan Tuaran menunjukkan peningkatan paling ketara pada temasya Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata peningkatan paling ketara ialah daerah Kunak yang berjaya mendapatkan empat pingat emas menamatkan kemarau pingat emas daerah tersebut di temasya SAGA.

“Daerah Kunak tidak pernah memenangi pingat emas sepanjang edisi SAGA yang dianjurkan sebelum ini.

“Manakala, Kuala Penyu telah berjaya memecahkan rekod 12 tahun sukan olahraga dalam acara 400M lelaki dan 4X400M lelaki masing-masing dengan catatan masa 48.70 s dan 3 minit 25.925 saat,” katanya semasa sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, Ellron yang diiringi Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah Mohd Asneh Mohd Noor turut memaklumkan Semporna adalah daerah paling kurang memberikan saingan dalam SAGA X dengan tidak memenangi sebarang pingat emas.

Katanya, Semporna pada SAGA X hanya memungut satu pingat perak menerusi acara pencak silat Kelas J (90kg-95kg) lelaki dan satu pingat gangsa menerusi e-sport (mobile legend) wanita.

Beliau juga memaklumkan 289 atlet dilaporkan telah menarik diri daripada 10 jenis sukan terutamanya sukan olahraga dan silat.

“Kita perlu tahu kenapa boleh berlaku, sepatutnya apabila kita sudah mendaftar, kita terus bertanding. Kita tidak mahu ini menjadi satu budaya,” ujarnya.

Bagi acara pencak silat, jumlah penyertaan awal adalah seramai 559 orang merangkumi 466 atlet dan 93 pegawai manakala atlet yang menarik diri adalah seramai 126 orang menjadikan penyertaan sebenar berbaki 433 atlet. — JABATAN PENERANGAN SABAH.