KOTA KINABALU: Anak-anak syarikat di bawah Kumpulan Sedco yang gagal mencatat keuntungan dalam tempoh setahun akan melalui proses management buyout atau ditutup bagi mengelakkan beban kewangan berterusan kepada agensi induk, tegas Pengerusinya, Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, mempertahankan syarikat yang rugi hanya akan menjejaskan prestasi keseluruhan kumpulan, seolah-olah menjaringkan gol sendiri.
“Kita mahu melihat prestasi sebenar. Jika sasaran tidak tercapai, perlu dijelaskan sebabnya dan langkah pembetulan diambil. Jika tercapai, kita perlu tingkatkan lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco di sini, semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menegaskan komitmennya melaksanakan reformasi signifikan terhadap tadbir urus anak syarikat yang kurang berdaya saing dalam industri masing-masing.
Menurutnya, mana-mana syarikat yang gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diwajibkan mengemukakan pelan tindakan pemulihan bagi memperbaiki prestasi operasi dan kedudukan kewangan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pengurusan tertinggi Sedco kini sedang menilai keberkesanan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat korporat di bawah kumpulan berkenaan, dengan pemantauan operasi dilaksanakan setiap tiga bulan.
“Setakat ini belum ada laporan salah laku korporat yang serius, namun pemantauan rapi perlu diteruskan. Saya juga akan turun ke lapangan dari semasa ke semasa bagi memastikan operasi berjalan berkesan,” katanya.
Masiung berkata, terdapat kira-kira 23 anak syarikat beroperasi di bawah Kumpulan Sedco merangkumi pelbagai industri, dengan tiga tumpuan utama tahun ini bagi menjana rantaian ekonomi negeri iaitu Sedco Mining Sdn Bhd, projek Kudat Blue Economy Park dan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd.
Turut hadir pada majlis amanat itu ialah Timbalan Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Haji Azrul Haji Ahmad.






