KOTA KINABALU: Dua buah kereta terbakar di Jalan Kampung Sembulan Tengah awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 pagi dan jentera dari BBP Kota Kinabalu tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah Hyundai i10 dan sebuah Perodua Axia, masing-masing terbakar kira-kira 10 peratus di bahagian hadapan.
“Api berjaya dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba,” kaya seorang jurucakap agensi.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan keselamatan dan memasang sawar sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.05 pagi.
Seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi bersama dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.






