New Age Movement dipantau pihak berkuasa agama Sabah

New Age Movement dipantau pihak berkuasa agama Sabah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Gerakan New Age Movement antara fahaman yang berada dalam radar pemantauan pihak berkuasa agama Sabah bagi memastikan ia tidak menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pemantauan terhadap fahaman itu dilakukan secara berterusan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Mufti Negeri Sabah.

Katanya, pemantauan bukan hanya tertumpu kepada New Age Movement, malah turut melibatkan fahaman lain yang dikesan berkembang di negeri berkenaan.

“Dari masa ke masa Pejabat Mufti akan bersama-sama dengan JHEAINS melihat bukan saja ajaran atau fahaman berkenaan tetapi fahaman-fahaman yang lain.

“Pejabat Mufti akan sentiasa bersama JHEAINS memantau bersama MUIS untuk melihat mana-mana perkara yang perlu kita awasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa 1448H/2026M (MTHQA) Ke-66 di Dewan Merdeka, malam tadi.

Menurutnya, masyarakat juga perlu mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai keraguan terhadap sesuatu ajaran atau fahaman dan tidak membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tidak disahkan.

“Mana-mana yang kita rasa ragu terhadap sesuatu perkara atau ajaran, sebaiknya rujuk kepada Jabatan Mufti, JHEAINS atau MUIS.

“Kita mempunyai senarai ajaran dan fahaman yang sudah kita fatwakan sebagai fahaman yang menyeleweng,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Arifin berkata, pihak berkuasa agama Sabah turut memastikan penceramah dan pendakwah yang datang ke negeri itu mempunyai tauliah sebelum dibenarkan menyampaikan pengajaran agama.

Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan kandungan ceramah dan dakwah yang disampaikan tidak bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Mana-mana penceramah atau pendakwah yang datang ke Sabah, termasuk yang ada di Sabah, mestilah sebelum membuat pengajaran agama atau mengadakan ceramah mendapatkan tauliah.

“Mereka diberikan tauliah selepas ditemuduga dan inilah peraturan yang kita laksanakan di negeri Sabah demi memastikan apa yang dibawa tidak tersasar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Mengulas penyertaan delegasi Sabah pada MTHQA Ke-66, Mohd Arifin berkata, kehadiran mereka bukan sekadar untuk menyokong penganjuran program berkenaan, malah menjadi platform menimba pengalaman dalam pengurusan program keagamaan.

Katanya, delegasi Sabah turut mengadakan lawatan dan mendapatkan perkongsian ilmu daripada agensi berkaitan merangkumi aspek pentadbiran, tadbir urus dan pelaksanaan program.

Beliau berharap pengalaman itu dapat dibawa pulang untuk memperkukuh pengurusan kementerian, jabatan dan agensi berkaitan di Sabah.

“Melalui majlis tilawah ini, kita juga mendapat pengajaran terbaik daripada bacaan qari dari luar negara dan Malaysia.

“Mudah-mudahan kita dapat mempelajari cara meningkatkan mutu bacaan dan melahirkan anak-anak Sabah yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan,” katanya.