KOTA BELUD: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Kejayaan itu mendapat penghargaan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum (AKAD, MAHEM dan MAKO) 2026, di sini, hari ini.
James menerusi amanat yang disampaikan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang berkata, pencapaian berkenaan hasil komitmen bersama pihak sekolah, guru, ibu bapa dan murid dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan.
Beliau berkata, kejayaan pendidikan tidak seharusnya diukur melalui keputusan akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah, disiplin, kepimpinan, bakat dan kemahiran murid.
Menurutnya, pengiktirafan menerusi tiga komponen utama iaitu AKAD, MAHEM dan MAKO penting bagi menghargai pencapaian murid secara menyeluruh, termasuk dalam bidang akademik, pembangunan sahsiah dan kokurikulum.
Dalam pada itu, James mengingatkan murid supaya menjadikan setiap kejayaan sebagai motivasi untuk terus meningkatkan pencapaian, selain mempersiapkan diri menghadapi perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI), automasi, sains dan inovasi.
“Tempat kita bermula tidak menentukan sejauh mana kita mampu pergi,” katanya dalam amanat berkenaan.
Beliau turut menyeru murid supaya tidak hanya menuntut ilmu untuk menghadapi peperiksaan, tetapi menggunakannya bagi memahami dunia, menyelesaikan masalah dan menghasilkan inovasi baharu.
James turut menghargai peranan guru dan ibu bapa dalam membimbing murid, sambil menegaskan kerjasama erat antara sekolah dan keluarga penting bagi memastikan kejayaan pendidikan berterusan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian beberapa kategori anugerah, termasuk Mata Pelajaran Terbaik, Pelajar Terbaik Setiap Kelas dan Tingkatan, Pencapaian Terbaik SPM 2025 serta Anugerah Ikon Akademik, Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum.






