DBKK Beri 117 Premis Makan Gred A, Keluarkan 89 Kompaun

DBKK Beri 117 Premis Makan Gred A, Keluarkan 89 Kompaun

0
SHARE
Dbkk
Petugas DBKK memeriksa tahap kebersihan dapur sebuah premis makan ( Sumber Foto: Ihsan DBKK )

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah memeriksa 506 premis makanan dan digredkan dalam tempoh Januari hingga Mac 2024.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon, jumlah itu dari 1682 jumlah keseluruhan premis makanan di bawah bidang kuasa DBKK.

“Ini bagi menjamin tahap keselamatan makanan yang dijual dan disediakan adalah selamat untuk dimakan.

“Dalam pemeriksaan berkenaan, sebanyak 177 (35 peratus) premis makanan telah mendapat Gred A, manakala 324 (64 peratus) dan 5 (1 peratus) premis makanan mendapat Gred B dan C masing-masing.

“Dalam tempoh yang sama, DBKK turut mengeluarkan sejumlah 89 kompaun kepada premis makanan di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 dan Undang-Undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Jelasnya, antara kesalahan yang telah dikompaun adalah pengendali makanan yang gagal memiliki Sijil Kesihatan yang sah, pengendali makanan gagal memakai kad pengenalan pengendali makanan semasa bekerja, premis tidak memasang dan menyelenggara perangkap lemak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Melakukan aktiviti mencuci peralatan dan menyediakan makanan di kaki lima atau ruang legar, menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah serta membuang sampah, sisa cecair atau minyak di tempat awam.

“DBKK juga mengarahkan premis-premis makanan agar membuat kawalan makhluk perosak untuk mengawal urungan lipas, lalat dan tikus.

“Selain itu, DBKK juga telah memeriksa dan memberikan penarafan bintang ke atas 301 tandas di premis makanan, yang mana sejumlah 137 tandas mendapat penarafan 3 bintang ke atas manakala 164 premis mendapat penarafan 2 bintang ke bawah,” katanya.

Robert berkata, bagi memberikan dorongan dan insentif kepada pengusaha premis makanan menaik taraf tandas mereka, DBKK sedang mengadakan Pertandingan Tandas Bersih Premis Makanan yang mana majlis penyampaian hadiahnya akan diadakan pada bulan Jun ini.

“DBKK akan meneruskan penguatkuasaan tegas serta tindakan kompaun dan akan menutup premis makanan yang kotor dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu,” katanya.