Jamawi Puas Hati Prestasi Agensi MAFFI, Dasar Pertanian Sabah 2026-2030 Dilancar Oktober...

Jamawi Puas Hati Prestasi Agensi MAFFI, Dasar Pertanian Sabah 2026-2030 Dilancar Oktober Ini

0
SHARE

TUARAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berpuas hati dengan prestasi jabatan serta agensi di bawah kementeriannya yang disifatkan berada di landasan tepat dalam memperkukuh keselamatan makanan dan memacu ekonomi negeri, selain memaklumkan Dasar Pertanian Negeri Sabah 2026-2030 dijadual dilancarkan pada Oktober ini.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kemajuan pelbagai projek dan aktiviti yang dilaksanakan selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi di daerah ini melibatkan Jabatan Perikanan, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Ko-Nelayan.

Saya berpuas hati dengan segala usaha yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

“Ia menunjukkan kita berada pada landasan yang tepat dalam memacu ekonomi negeri, khususnya ketika berdepan cabaran global yang semakin kritikal.

Situasi di Asia Barat yang masih tidak menentu mengingatkan kita tentang pentingnya memperkukuhkan keselamatan makanan serta meningkatkan pengeluaran hasil perikanan dan sumber laut yang mampu diusahakan oleh nelayan tempatan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri kini sedang memuktamadkan Dasar Pertanian Negeri Sabah 2026-2030 yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sempena sambutan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan di Tenom pada Oktober depan.

Katanya, dasar berkenaan akan menjadi hala tuju pembangunan sektor pertanian, ternakan, perikanan, industri makanan serta industri getah di Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Lawatan kerja itu dimulakan di Pusat Semaian Anak Benih LIGS yang menawarkan pelbagai jenis benih buah-buahan pada harga kompetitif sebelum beliau bersama rombongan mengunjungi Pusat Latihan, Pusat Ternakan dan Kolam Pancing Ko-Nelayan di Kampung Laya-Laya.

Rombongan kemudian melawat Pusat Pembenihan Ikan Marin Jabatan Perikanan di kampung yang sama serta Pusat Ternakan Ikan Dalam Sangkar milik Ko-Nelayan di Kampung Terayong bagi meninjau perkembangan projek yang sedang dilaksanakan.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam; Pembantu Menteri, Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts. Jifrin Mohamad; timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai kementerian.

Mengulas mengenai isu BUDI Diesel, Jamawi berkata Jawatankuasa Khas Kerajaan Negeri telah mengemukakan secara rasmi semua maklum balas dan cadangan penambahbaikan daripada kementerian, agensi, pemain industri serta masyarakat kepada Kementerian Kewangan Persekutuan.

Katanya, perkara itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri baru-baru ini dan Kementerian Kewangan memohon tempoh antara dua hingga tiga minggu untuk meneliti semua rayuan serta cadangan penambahbaikan BUDI Diesel khusus bagi Sabah sebelum keputusan dimuktamadkan.

Selepas lawatan kerja itu, Jamawi turut menghadiri Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jumain Abdul Ghani, yang akan meneruskan perkhidmatan di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).