KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada pengukuhan sektor tenaga Sabah sebagai teras pembangunan jangka panjang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau menegaskan bekalan elektrik yang mencukupi dan boleh dipercayai perlu seiring dengan usaha membina sistem yang lebih cekap serta mampan untuk masa depan.
Menurutnya, Sabah telah mengguna pakai Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) sebagai panduan strategik bagi memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan sumber, meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada pelancaran program Sabah Sustainable Energy for the People, yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman, di sini, Rabu.
Program anjuran Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (SEEAP), yang menyasarkan pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 8.5 peratus menjelang 2036 berbanding senario biasa.
Turut dilancarkan Program Solar Rakyat Sabah serta Insentif Rebat Solar bernilai RM4 juta bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar dalam kalangan pengguna domestik.
Majlis itu juga menampilkan beberapa inisiatif termasuk kempen SELCO PV Sabah 2.0, program tanggungjawab sosial korporat ECoS serta pembangunan latihan kompetensi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Antara projek utama ialah pemasangan solar oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) serta projek komersial di Universiti Malaysia Sabah, yang merupakan pemasangan SELCO PV terbesar di negeri ini.
Dalam pada itu, satu memorandum persefahaman dimeterai antara ECoS dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi memperkukuh pembangunan keusahawanan teknikal dan modal insan dalam sektor tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem tenaga Sabah secara menyeluruh, melibatkan aspek dasar, teknologi, pembangunan modal insan dan kerjasama strategik.






