RM100 Juta Perkasa Biasiswa Anak Sabah

RM100 Juta Perkasa Biasiswa Anak Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan apabila memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu digunakan untuk menampung pelajar sedia ada serta tajaan baharu tahun 2026, membabitkan seramai 2,182 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.

Beliau berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan pelajar yang menerima tajaan BKNS telah mencecah 13,389 orang, mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti.

Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, BKNS turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima anugerah itu seramai 60 orang.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga menawarkan beberapa skim biasiswa utama termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar.

Katanya, Kumpulan Yayasan Sabah turut meningkatkan jumlah penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah sebanyak 10 orang kepada 50 penerima tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang penjagaan kesihatan apabila seramai 30 anak Sabah akan dipilih mengikuti program pembangunan bakat yang merangkumi bidang Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah, Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College menerusi memorandum persefahaman yang dimeterai pada April lalu bagi memperkukuh penyediaan tenaga kerja kesihatan masa depan negeri.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga mahir dalam sektor kesihatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada anak Sabahbmengikuti latihan profesional dalam bidang kritikal yang mempunyai permintaan tinggi pada masa hadapan.

Pada masa sama, seramai 15 anak Sabah kini sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College menerusi inisiatif yang diselaraskan Yayasan Sabah melalui University College Sabah Foundation (UCSF), sekali gus memperluaskan akses kepada latihan kemahiran kesihatan yang berkualiti.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan lain bagi meringankan beban pelajar dan keluarga berdepan peningkatan kos pendidikan.

Katanya, sejak diperkenalkan, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) telah memberi manfaat kepada 835 penerima dengan perbelanjaan keseluruhan RM141.29 juta, manakala Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2022 telah membantu 15,629 penerima membabitkan peruntukan melebihi RM25 juta.

“Selain itu, Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah terus menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian, termasuk bantuan yuran awal dan tiket penerbangan, dengan perbelanjaan berjumlah lebih RM12.7 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini”, katanya.

Hajiji berkata, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) turut meneruskan 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

Beliau turut menyifatkan peningkatan prestasi pendidikan negeri sebagai petanda positif apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, sekali gus kali pertama Sabah merekodkan GPN di bawah paras 5.00.

Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar terus mengekalkan kecemerlangan serta menerokai bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI) yang menjadi pemacu pembangunan ekonomi masa depan negeri.