XPDC Kita Peng Yu Tampil Konsert Eksklusif ‘Headbang Live & Loud’ di...

XPDC Kita Peng Yu Tampil Konsert Eksklusif ‘Headbang Live & Loud’ di Odeon KL

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock legenda, XPDC Kita Peng Yu bakal menggegarkan pentas Odeon Kuala Lumpur menerusi konsert eksklusif “XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud” pada 22 Ogos ini.

Konsert anjuran Rockstation and Event Entertainment itu menjanjikan persembahan lebih dua jam yang sarat dengan lagu-lagu malar segar XPDC serta kemunculan single terbaharu mereka, “Satu Arah”.

Menariknya, konsert berkenaan turut menampilkan tiga figura berpengaruh dalam dunia rock tanah air sebagai tetamu khas iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali dari Black Dog Bone dan Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael. Mereka akan tampil dalam tiga segmen berbeza iaitu Metal, Tribute dan Metal 60’an.

XPDC Kita Peng Yu yang dianggotai Arry (vokal), Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) terus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama besar dalam industri muzik rock tempatan walaupun selepas pemergian Allahyarham Mael.

Kumpulan itu juga kekal relevan dengan mencatat lebih 60 persembahan setiap tahun di pelbagai festival, konsert dan acara korporat di Malaysia termasuk Sabah, Sarawak serta Brunei.

Pengarah Urusan Rockstation and Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin berkata, penganjuran konsert tersebut tercetus daripada permintaan berterusan peminat yang mahu melihat XPDC Kita Peng Yu tampil dalam sebuah konsert berskala khas.

“XPDC Kita Peng Yu mempunyai kelompok peminat yang sangat besar. Berdasarkan sambutan yang diterima di pelbagai lokasi, kami yakin sudah tiba masanya untuk merealisasikan konsert eksklusif ini,” katanya.

Menurutnya, pihak penganjur turut menjangkakan kehadiran peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei memandangkan sokongan terhadap muzik rock di rantau tersebut masih kukuh.

Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar berkata, persembahan bertiket memerlukan komitmen dan persiapan lebih rapi bagi memenuhi jangkaan peminat.

“Kami beri perhatian kepada setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan dan keseluruhan produksi supaya peminat pulang dengan pengalaman yang memuaskan,” katanya.

Pengurus kumpulan, Mohd Yazid Selamat pula optimis konsert tersebut mampu menarik kehadiran ramai berdasarkan rekod persembahan mereka sebelum ini.

Selain itu, peminat turut berpeluang menyaksikan sesi uji bunyi dan latihan serta berjumpa dengan ahli kumpulan pada hari konsert di Odeon Kuala Lumpur.