Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi dan Diesel Naik 20 Sen Mulai Esok

Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi dan Diesel Naik 20 Sen Mulai Esok

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97, petrol RON95 tanpa subsidi dan diesel akan meningkat sebanyak 20 sen seliter bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos 2026.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, harga RON97 naik daripada RM4.20 kepada RM4.40 seliter, manakala harga RON95 tanpa subsidi meningkat daripada RM3.62 kepada RM3.82 seliter. Harga diesel pula naik daripada RM4.42 kepada RM4.62 seliter.

Menurut MOF, kenaikan harga bahan api tanpa subsidi itu dipengaruhi oleh peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia sepanjang minggu lalu.

Katanya, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 16 peratus susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali memuncak selepas tempoh gencatan senjata berakhir.

Selain itu, sekatan terhadap perkapalan dan pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz turut mencetuskan kebimbangan mengenai gangguan bekalan petroleum global.

MOF berkata, kenaikan harga minyak mentah juga didorong oleh inventori minyak global yang semakin berkurangan serta risiko gangguan penghantaran minyak dari Arab Saudi.

Menurut kementerian itu, pasaran petroleum dunia dijangka terus tidak menentu selagi konflik berkenaan belum diselesaikan sepenuhnya.

Walaupun terdapat usaha menghidupkan semula rundingan damai dan cadangan gencatan senjata, perkembangan itu masih belum mampu meredakan kebimbangan pasaran terhadap kemungkinan gangguan bekalan minyak.

Sehubungan itu, Kerajaan MADANI mengingatkan rakyat supaya terus menggunakan bahan api secara berhemah walaupun bekalan bahan api negara masih mencukupi ketika ini.

MOF turut menggalakkan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu bagi membantu mengurangkan penggunaan bahan api serta mengekang tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.