‘Bulan Henti Bicara’ Raih Sambutan Hangat, Lakonan Azhan Rani Cetus Rasa Geram...

‘Bulan Henti Bicara’ Raih Sambutan Hangat, Lakonan Azhan Rani Cetus Rasa Geram Penonton

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Drama baharu Astro, Bulan Henti Bicara, memulakan tayangan dengan sambutan memberangsangkan apabila episod pertamanya berjaya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton di media sosial.

Ruangan komen di pelbagai platform dipenuhi dengan pujian terhadap jalan cerita yang disifatkan dekat dengan realiti kehidupan, selain lakonan mantap barisan pelakon yang berjaya menghidupkan setiap watak.

 

Antara yang paling mencuri perhatian ialah Azhan Rani menerusi watak Jamali. Ramai penonton mengakui lakonannya begitu berkesan sehingga berjaya menimbulkan rasa geram terhadap watak yang dibawanya.

Tidak kurang juga yang berseloroh bahawa Azhan Rani sememangnya terkenal dengan keupayaannya menjayakan watak antagonis sehingga membuatkan penonton benar-benar membenci karakter tersebut.

Selain itu, lakonan Ezzanie Jasny sebagai Zulfa turut menerima pujian apabila berjaya menyampaikan emosi seorang wanita yang sanggup berkorban demi keluarga. Rata-rata penonton mengakui watak itu menyentuh hati dan membuatkan mereka sebak seawal episod pertama.

Dalam pada itu, kemunculan semula Azar Azmi menerusi watak Faziah turut menjadi antara topik hangat diperkatakan. Selepas hampir tujuh tahun tidak muncul dalam drama televisyen, ramai peminat meluahkan rasa gembira melihat beliau kembali berlakon.

Malah, ada yang mengakui mula mengikuti drama tersebut semata-mata untuk menyaksikan kemunculan semula pelakon itu, yang sebelum ini turut mencuri perhatian apabila video kehadirannya di lokasi penggambaran meraih lebih sejuta tontonan di TikTok.

Selain lakonan, ramai penonton turut memuji jalan cerita Bulan Henti Bicara yang mengetengahkan isu kekeluargaan, pengorbanan seorang anak serta penderitaan seorang wanita, sekali gus dianggap dekat dengan pengalaman hidup masyarakat.

Melihat kepada sambutan positif sejak episod pertama, ramai menjangkakan konflik membabitkan Zulfa, Jamali, Faziah dan Afghan bakal menjadi antara tarikan utama yang membuatkan penonton terus mengikuti perkembangan drama berkenaan.

Bulan Henti Bicara dibintangi Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Hushairi Husain, Farah Ahmad, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha dan Nik Ramly.

Drama itu disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam di Astro Ria dan turut boleh distrim menerusi platform Sooka.

SHARE
Previous articleHarga RON97, RON95 Tanpa Subsidi dan Diesel Naik 20 Sen Mulai Esok
Sabah News adalah sebuah medium berita yang menarik yang adil dan kontroversi yang hanya memaparkan berita sebenar dan tular serta bagi tontonan umum.