KOTA KINABALU: Kes kehilangan kanak-kanak perempuan, Gwynne Mia Erbin, kini disahkan selesai selepas mangsa ditemui dalam keadaan selamat, dengan keluarganya tampil menjelaskan situasi sebenar bagi meredakan spekulasi yang tular.
Menerusi satu hantaran di Facebook, ibu saudara mangsa, Jaime Crystal, memaklumkan bahawa Mia berada dalam keadaan baik dan kekal sebagai seorang kanak-kanak ceria seperti yang dikenali sebelum ini.
Menurutnya, kejadian itu pada asalnya tidak dijangka menjadi besar sehingga tular meluas, malah mendapat perhatian hingga ke Indonesia, Brunei, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, sekali gus menunjukkan kuasa media dan orang ramai dalam menyebarkan maklumat.
“Namun, kami berharap semua pihak lebih berhati-hati dan hanya berkongsi maklumat yang sahih serta disahkan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Mia hanya berniat untuk tidak hadir ke sekolah selama sehari, namun keadaan menjadi di luar kawalan apabila mangsa panik dan ketakutan, sesuatu yang disifatkan sebagai reaksi biasa bagi kanak-kanak seusianya.
Tambahnya, kenderaan Proton Saga yang sebelum ini dikaitkan dengan kes berkenaan sebenarnya hanyalah kenderaan e-hailing (Grab) yang digunakan untuk menghantar Mia ke rumah rakannya, tanpa sebarang unsur mencurigakan.
Selepas kejadian itu, Mia turut menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan atau perkara yang tidak diingini.
“Mia juga menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf kepada semua yang bimbang serta terkesan dengan kejadian ini,” katanya sambil mengingatkan bahawa tindakan melarikan diri dari sekolah adalah tidak bijak dan berisiko.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar hanya mempercayai maklumat daripada sumber rasmi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain mengelakkan penyebaran spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Terdahulu, kanak-kanak itu dilaporkan hilang lebih 24 jam sebelum ditemui selamat di hadapan rumah rakannya di Lorong Seri Pelangi, Inanam, kira-kira jam 3 petang Selasa.






