KOTA KINABALU: Mengakui wujudnya krisis keyakinan rakyat selepas keputusan Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 (PRU-17), DAP Sabah berikrar memperkukuh usaha reformasi parti serta meningkatkan tumpuan terhadap isu-isu yang menjadi kegusaran pengundi.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata parti menghormati keputusan pengundi dan menerima mesej jelas yang disampaikan melalui keputusan PRU-17, termasuk keperluan untuk melakukan pembetulan dan pembaharuan segera.
DAP Sabah turut menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Phoong untuk tidak menyertai kerajaan negeri, sambil menegaskan parti tidak pernah mengemukakan sebarang surat kepada Ketua Menteri berhubung penyertaan dalam pentadbiran negeri.
Pada masa sama, parti itu mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, mengenai peningkatan ambang e-invois kepada RM1 juta dan permulaan pelaksanaan pemulangan 40 peratus hasil kepada Sabah.
Bagaimanapun, DAP Sabah menegaskan lebih banyak reformasi perlu dipercepatkan bagi memastikan keyakinan rakyat dapat dipulihkan sepenuhnya.
DAP Sabah turut menyeru kerajaan mempercepatkan reformasi institusi, memperkukuh urus tadbir yang telus, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi Sabah bagi meringankan beban rakyat.
Dalam kenyataan sama, parti itu merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, serta menzahirkan penghargaan kepada semua jentera, sukarelawan dan penyokong yang telah bekerja keras sepanjang kempen PRU-17.






