KELEWATAN AKIBAT SOP PANGGILAN BUKAN PUNCA KEMATIAN MANGSA KEBAKARAN DI PENAMPANG –...

KELEWATAN AKIBAT SOP PANGGILAN BUKAN PUNCA KEMATIAN MANGSA KEBAKARAN DI PENAMPANG – JBPM

0
SHARE
Gambar insiden yang diambil oleh anggota Bomba pada jam 3.11 pagi, 8 Sept...(Ihsan Foto daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah)

KOTA KINABALU, SABAH – Berlakunya sedikit kekeliruan dengan ketepatan lokasi kejadian yang mengakibatkan petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah lewat beberapa saat untuk sampai kepada tapak kebakaran yang meragut nyawa empat sekeluarga awal kelmarin.

Namun kelewatan itu bukanlah punca kematian di Taman Hungab, Nosoob kerana pasukan yang bertindak dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Penampang berjarak 1.2 kilometer dari rumah terbabit sampai dalam masa enam (6) minit sahaja.

Timbalan Pengarah Bomba Sabah, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Farhan Sufyan Borhan mengulas satu laporan yang dikeluarkan akhbar tempatan Sabah hari ini (8 Sept) yang mana mengimplikasi bahawa setiap panggilan kecemasan diperlambatkan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang harus melalui operator pada peringkat Persekutuan terlebih dahulu.

“Talian MERS 999 dikawal selia oleh operator Telekom Malaysia dan pihak mereka akan meminta empat maklumat penting iaitu nama pemanggil, nombor telefon, alamat dan jenis insiden…

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP), semua ini mesti direkod dalam tempoh 40 saat atau kurang daripada itu.

“Maklumat tambahan lain akan kemudiannya dihantar kepada petugas yang terlibat sebaik dimaklumkan punca kecemasan,” jelasnya.

Farhan berkata pasukan bertugas hanya diberikan 60 saat untuk bersiap dan bergerak keluar daripada balai.

Difahamkan lebih daripada DUA (2) individu membuat panggilan kecemasan pada waktu kejadian dan lokasi kurang tepat yang diambil sebagai panduan datang daripada pemanggil kedua yang dikenali sebagai “Encik Eng”.

“Petugas yang sampai ke alamat yang diberikan mendapati mereka berjarak beberapa saat lebih jauh daripada kawasan kejadian sebenar…

“Anggota kemudian berpatah balik, mengikut suluhan lampu daripada rumah jiran dan kepulan asap untuk sampai ke kawasan kejadian pada pukul 2.57 pagi selepas mendapat panggilan kecemasan pada pukul 2.51 pagi,” katanya semasa dihubungi SabahNews.

Beliau berkata bukannya agensi di Sabah tidak boleh menjadi pengendali pusat panggilannya sendiri tetapi MERS 999 adalah ‘one stop’ (pusat) bagi laporan kecemasan yang memudahkan makluman kepada agensi lain seperti Kementerian Kesihatan, pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Maritim Malaysia.

Katanya lagi salah satu daripada TIGA (3) Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Bomba adalah untuk sampai ke lokasi kecemasan kurang 10 minit daripada panggilan pertama dibuat tanpa mengambil kira geografi.

Farhan berkata satu sesi post mortem dibuat petang tadi berhubung kes ini bagi menyiasat dan menambah baik pengoperasian Bomba Sabah.

“Didapati semasa anggota sampai, tiada lagi suara mangsa kedengaran dari ruangan di atas rumah terbabit…

“Pagar jeriji rumah didapati berkunci dan terpaksa dipotong anggota petugas demi akses ke dalam rumah berkenaan,” jelasnya.

Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan tapi bahagian forensik mendapati corak kemusnahan bermula dari bahagian bawah rumah.

Pada awal pagi Khamis baru-baru ini, sepasang suami isteri dan dua anak remaja mereka ditemui rentung.

Tiga mangsa lelaki ditemui dalam sebuah bilik utama di tingkat atas manakala mangsa wanita ditemui di dalam bilik air.