KUALA LUMPUR – Premis yang disenaraikan dalam aplikasi Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) bukan kluster COVID-19 baharu.
Sebaliknya, ia hanya berpotensi menjadi kluster dan memerlukan tindakan awal pemiliknya dan berbeza daripada senarai kluster yang dilaporkan setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan.
Berikut soalan lazim mengenai HIDE;
Apakah HIDE?
HIDE (Hotspot Identification for Dynamic Engagement) adalah analisis Data Raya dan kecerdasan buatan (AI) yang membuat ramalan ke atas sesebuah premis yang berpotensi menjadi titik panas penularan COVID-19 dalam jangka masa 7 hari. Analisis yang dibuat adalah menggunakan data daftar masuk MySejahtera serta pangkalan data kesihatan sedia ada.
Sistem HIDE akan menyenaraikan premis berisiko. Senarai ini akan diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan bagi tujuan kawalan kendiri oleh masyarakat umum dan premis perniagaan.
Mengapa HIDE?
Dapatan daripada HIDE akan memudahkan tindakan awalan secara bersasar dilaksanakan oleh pihak berwajib bagi membendung penularan COVID-19. Hasil pemerhatian mendapati 90 peratus daripada kadar transmisi COVID-19 telah berlaku di 0.2 peratus premis yang berdaftar dengan MySejahtera. Dapatan HIDE akan membantu pihak berkuasa untuk melaksanakan tindakan awalan membendung penularan COVID-19 secara lebih baik dan tersusun, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada langkah-langkah kawalan sedia ada.
Adakah premis-premis ini adalah kluster jangkitan sebenar?
TIDAK. Premis yang disenaraikan adalah yang berpotensi menjadi kluster, sekiranya tiada tindakan awalan diambil. Ia bukan suatu kluster yang telah disahkan sebagai kluster penyebaran COVID-19. Oleh itu, premis yang tersenarai di bawah HIDE adalah berbeza daripada senarai kluster yang dilaporkan setiap hari oleh Ketua Pengarah Kesihatan.
Siapa yang membangun dan menguruskan sistem HIDE?
Sistem HIDE dibangun dan diuruskan oleh CPRC Analytics, sebuah unit di bawah Kementerian Kesihatan yang dianggotai oleh pegawai dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Ini bertepatan dengan pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government) dalam menguruskan pandemik ini, di samping dapat mengurangkan kos untuk pekerjaan dan pendapatan.
Siapakah pemilik HIDE, data serta analisis yang terhasil dari sistem ini?
Semua data berkenaan HIDE dimiliki oleh Kementerian Kesihatan.
Mengapakah premis saya disenaraikan di dalam HIDE?
Senarai ini dibuat berdasarkan penjejakan kontak data daftar masuk MySejahtera, yang mana sebilangan besar individu berpotensi terdedah kepada individu positif COVID-19 telah mengunjungi premis anda.
Jika premis saya disenaraikan dalam HIDE, adakah saya perlu menutup premis tersebut? Apakah tindakan awal (pre-emptive) yang perlu saya ambil?
TIDAK. Premis tidak perlu ditutup kecuali jika diarahkan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah awalan seperti berikut:
1) Meningkatkan tahap kewaspadaan (memeriksa status risiko daftar masuk MySejahtera dan menghalang individu-individu ‘berisiko tinggi’ daripada memasuki premis);
2) Melaksanakan ujian saringan COVID-19 ke atas pekerja sama ada melalui ujian RTK-Ag atau RT-PCR;
3) Memperketat kawalan pergerakan orang ramai terutama di kawasan sempit atau yang sering dikunjungi ramai;
4) Semakin pantas tindakan wajar diambil, semakin tinggi keupayaan menghalang sesuatu kluster daripada terbentuk.
Adakah tindakan awalan (pre-emptive) ini perlu?
Usaha melawan COVID-19 adalah tanggungjawab bersama. Semua pihak mempunyai peranan dalam usaha ini. Tindakan awalan boleh mengurangkan jangkitan serta menghalang pembentukan kluster baharu yang seterusnya boleh menyelamatkan nyawa dan memelihara kehidupan.