Varian Baharu Masih Boleh Muncul – WHO

Varian Baharu Masih Boleh Muncul – WHO

0
SHARE

GENEVA, SWITZERLAND – Anggapan Omicron varian terakhir dan dunia kini sedang menuju ke penghujung pandemik disifatkan pandangan berbahaya.

Namun dunia berkemungkinan bakal menyaksikan peralihan daripada fasa sukar dalam pandemik COVID-19 pada tahun ini, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Memetik laporan Reuters, Dr Tedros menyatakan bahawa peralihan itu berupaya dibuat sekiranya strategi tertentu dalam kecemasan kesihatan global seperti saringan dan vaksin digunakan secara terangkum.

Katanya, sejak Omicron dikesan kira-kira sembilan minggu lalu, lebih 80 juta kes positif COVID-19 dilaporkan, berbanding kadar lebih rendah yang dicatatkan sepanjang 2020.

“Keadaan sangat sesuai untuk lebih banyak varian muncul. Pandemik COVID-19 kini memasuki tahun ketiga dan kita berada di persimpangan yang sangat kritikal…

“Kita perlu bekerjasama untuk keluar daripada fasa sukar pandemik ini. Kita tidak boleh biarkan ia berlarutan, tanpa bersikap panik dan tidak acuh.”

Beliau berkata demikian sidang media bersama Menteri Pembangunan Jerman, Svenja Schulze selepas bercakap pada ucaptama mesyuarat Lembaga Eksekutif.

Dr Tedros juga menggesa negara seluruh dunia untuk menjalin kerjasama untuk keluar daripada fasa sukar pandemik, berteraskan ‘senjata’ sedia ada.

Ujarnya lagi, Jerman adalah penyumbang terbesar, tanpa memberikan butiran lanjut secara terperinci.

Mengikut sejarah, Amerika Syarikat (AS) penyumbang kewangan terbesar kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.