
NABAWAN, SABAH – Tiga cedera parah apabila kenderaan jenis Isuzu Dmax dinaiki mereka terbabas sendiri berhampiran SK Tampusison di Sapulut, di sini, semalam.
Mangsa kejadian kira-kira 7:30 pagi itu dikenal pasti sebagai seorang lelaki, 31, dan dua lagi perempuan berusia 37 dan 30 tahun.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata sepasukan enam dari Balai Bomba dan Penyelamat Sook Bomba bertindak memberi rawatan awal pada mangsa.
Jarak perjalanan ke lokasi mengambil kira-kira 62 kilometer (KM) daripada balai.
“Mereka seterusnya diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan lanjut. Semua mangsa dibawa ke Hospital Keningau menaiki ambulan.
“Setelah memastikan tidak ada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 9:50 pagi,” kata seorang jurucakap bagi agensi.





