KPWKM Komited Perkasa Wanita Dan Terus Lindungi Kanak- Kanak

KPWKM Komited Perkasa Wanita Dan Terus Lindungi Kanak- Kanak

0
SHARE
Nancy
Nancy (duduk tengah) bersama peserta program

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, telah melancarkan Garis Panduan Perkhidmatan Pemeliharaan Dan Perlindungan Kanak-Kanak di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, semalam.

Katanya, garis panduan itu diwujudkan bagi menjamin kesesuaian penempatan kanakkanak di bawah ibu bapa peliharaan atau orang yang layak dan sesuai (OYLS).

“Selain itu, JKM juga memperkenalkan sistem saringan penggunaan Penaksiran Psikologi Personaliti (TAJMA) iaitu suatu alat ukur psikologi yang direkabentuk untuk memberikan data saintifik tentang diri seseorang individu mengenai pemikiran, perasaan dan tingkah laku.

“Melalui penaksiran ini, kesesuaian ibu bapa peliharaan dalam aspek penjagaan, pemeliharaan dan pelindungan kanak-kanak dapat diteliti dengan lebih terperinci.

“Selain itu, sesi Townhall Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Pelindungan) turut diadakan untuk membincangkan isu-isu semasa kanakkanak dan cabaran yang dihadapi oleh Pelindung,” katanya.

Menurut beliau, pada sepanjang tahun 2022, Kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan sebanyak 6,781 kes yang melibatkan penderaan dan pengabaian iaitu penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian yang disantuni oleh pegawai JKM yang berperanan sebagai Pelindung seperti diwartakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Nancy yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) juga merasmikan kursus bimbingan perniagaan bagi program MyKasih Kapital yang merupakan satu inisiatif di bawah Program Wanita Bangkit@KPWKM.

“Program kali ini disertai 500 peserta wanita merupakan usaha kementerian dalam membantu golongan wanita terutamanya yang hilang punca pendapatan, pencari nafkah utama dan ibu tunggal.

“Program ini telah berjaya membimbing dan membangunkan seramai 18,250 wanita melalui kursus-kursus keusahawanan dan bimbingan permulaan perniagaan melalui kolaborasi strategik pelbagai jabatan, agensi dan syarikat korporat,” katanya.