Hakim Cafe buka cawangan di UiTM Shah Alam, sasar komuniti pelajar

Hakim Cafe buka cawangan di UiTM Shah Alam, sasar komuniti pelajar

0
SHARE

SHAH ALAM: Rangkaian restoran mamak terkenal, Restoran Hakim Sdn Bhd terus mengorak langkah apabila membuka cawangan baharu, Hakim Cafe di Kafeteria Kompleks Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Shah Alam, hari ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, pemilihan lokasi tersebut dibuat berdasarkan pengalaman lebih 27 tahun berniaga. selain melihat potensi besar dalam kalangan pelajar dan warga universiti.

Menurutnya, majoriti pelanggan sedia ada di restorannya sebelum ini yang terletak di Seksyen 7, terdiri daripada pelajar UiTM serta kakitangan universiti, sekali gus mendorong beliau membuka cawangan di dalam kampus.

“Memang pelanggan saya ramai daripada pelajar UiTM dan staf universiti. Jadi bila ada cadangan untuk buka di sini, kita buat tinjauan dan beberapa perbincangan sebelum bersetuju.

“Bukan senang nak dapat tempat dalam universiti. Kita kena ikut semua prosedur yang ditetapkan, jadi kita pastikan operasi ikut garis panduan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian kafeteria di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi. Turut hadir menyerikan majlis, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Hakimsa menegaskan bahawa aspek harga dan kualiti makanan sentiasa menjadi keutamaan, khususnya bagi memenuhi keperluan golongan pelajar.

“Saya memang jaga harga sebab ini kawasan pelajar. Kita tak boleh sesuka hati naikkan harga. Kalau barang naik, semua orang naik dulu, baru kita ikut. Kalau turun, kita pun turunkan,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menekankan prinsip perniagaan berteraskan integriti dan tanggungjawab.

Menurutnya lagi, operasi Hakim Cafe kini banyak diuruskan oleh generasi kedua, selaras dengan perancangan beliau untuk berundur secara berperingkat.

“Saya dah mula berehat dan serahkan kepada anak-anak untuk uruskan operasi. Tapi saya tetap nasihat supaya jaga kualiti dan amanah dalam perniagaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, konsep yang dibawa di cawangan tersebut berbeza sedikit berbanding restoran mamak sedia ada dengan pendekatan lebih santai seperti kafe.

“Kita ikut kesesuaian tempat. Di luar konsep mamak lebih besar, tapi di sini kita buat kafe yang lebih sesuai dengan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sazili yang juga Presiden Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM melihat pembukaan semula kafeteria di kompleks ini sebagai satu inisiatif strategik dalam menyediakan kemudahan makanan yang lebih selesa dan mesra pelajar, khususnya dalam kalangan mahasiswa yang aktif dengan aktiviti sukan dan akademik.

Katanya, usaha sama itu bertujuan memastikan pelajar mempunyai akses kepada makanan dari waktu pagi hingga malam, selaras dengan keperluan jadual harian mereka.

“Operasi kafe ini akan disesuaikan dengan jadual pelajar serta peraturan kampus. Kita mahu pastikan pelajar tidak terjejas dari segi pembelajaran, dalam masa sama pihak kafe dapat beroperasi dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, pihak universiti turut menitikberatkan aspek kemampuan kewangan pelajar dengan menyediakan Menu Rahmah pada harga berpatutan.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, kita faham cabaran yang dihadapi pelajar. Jadi Menu Rahmah memang disediakan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Kemudahan ini siap sedia bagi menyambut dua acara sukan besar yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan UiTM iaitu kejohanan SUKMA Selangor dan Asean University Games KL,” katanya.