Keputusan GRS Pilih PH Wajar Dihormati, BN Pula Konsisten Mahu Kestabilan –...

Keputusan GRS Pilih PH Wajar Dihormati, BN Pula Konsisten Mahu Kestabilan – Salleh

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyifatkan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai satu langkah yang wajar dihormati.

Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, keputusan GRS untuk tidak bergerak secara solo dan sebaliknya memilih untuk bersama parti-parti nasional dipercayai dibuat berdasarkan pertimbangan strategik yang rapi serta membuka ruang kepada rakyat untuk menilai kesungguhan gabungan tersebut dalam menawarkan kestabilan politik.

“GRS secara jelas telah menolak pendekatan seperti di Sarawak yang memilih untuk menjauhkan diri daripada parti nasional. Sebaliknya, mereka memilih untuk bekerjasama dengan PH demi membina kekuatan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salleh turut menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) konsisten sejak awal dalam menyokong pendekatan kerjasama dengan PH sebagai jalan terbaik untuk menjamin kestabilan politik, khususnya dalam konteks negeri Sabah.

“Di pihak BN, kami percaya gabungan bersama PH adalah pendekatan paling sesuai demi memastikan kestabilan dan pembangunan berterusan dapat diteruskan,” tambahnya.

Semalam, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS dan PH telah bersetuju mewujudkan kerjasama pilihan raya bagi PRN-17 Sabah.

Menurut Hajiji, perbincangan mengenai pembahagian kerusi telah diadakan dan formula asas telah pun dibentuk, namun kini perlu memuktamadkan beberapa perkara kecil.

Sementara itu, Salleh berkata, UMNO dan BN bersangka baik dengan keputusan GRS memilih PH mungkin kerana mahu memastikan hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat.

Menurutnya, ia selari dengan keperluan untuk menjamin kestabilan politik dan pembangunan untuk Sabah.