Kehadiran Hajiji dan Pimpinan GRS Cerminan Semangat Kerajaan Perpaduan – Mustapha

Kehadiran Hajiji dan Pimpinan GRS Cerminan Semangat Kerajaan Perpaduan – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama barisan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke Kongres Nasional KEADILAN 2026 mencerminkan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kehadiran Hajiji yang juga Pengerusi GRS sebagai jemputan khas pada Majlis Perasmian Kongres Nasional KEADILAN di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka, turut memperlihatkan hubungan yang terus dipupuk antara kepimpinan Sabah dan KEADILAN di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, hubungan berkenaan penting bagi memastikan agenda pembangunan serta kepentingan rakyat Sabah terus mendapat perhatian.

Bagi KEADILAN Sabah, kerjasama ini bukan semata-mata soal politik. Keutamaan kita ialah memastikan kestabilan dapat diterjemahkan kepada pembangunan, peluang ekonomi, kemudahan asas yang lebih baik serta penyelesaian terhadap isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata, sebagai parti yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, KEADILAN mempunyai tanggungjawab dalam Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dan seimbang dengan mengambil kira keperluan serta keunikan setiap wilayah termasuk Sabah.

Pada masa sama, katanya, KEADILAN Sabah akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan negeri termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam kerangka Persekutuan yang adil serta menghormati kedudukan dan keistimewaan Sabah.

Beliau berkata, KEADILAN Sabah turut membawa suara rakyat Sabah dan Sarawak berhubung kuota diesel dan petrol di bawah program BUDI MADANI.

Menurutnya, antara perkara dibangkitkan ialah cadangan supaya kuota diesel dinaikkan kepada 500 liter dan kuota petrol BUDI MADANI dikembalikan kepada 300 liter seperti sebelum ini.

Bagi mengurangkan risiko ketirisan, wakil pembahas Sabah, Junaidah Makku turut mencadangkan supaya pengeluaran dihadkan kepada 125 liter seminggu.

Mustapha turut menghargai kehadiran barisan pimpinan dan wakil rakyat GRS termasuk Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Datuk Rubin Balang, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Datuk James Ratib, Datuk Mohd Razali Mohd Razi dan Syed Ahmad Syed Abas pada kongres berkenaan.

“Kehadiran mereka ke Kongres Nasional KEADILAN membawa mesej bahawa perbezaan parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita duduk bersama dan membina persefahaman apabila melibatkan kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Beliau menegaskan KEADILAN Sabah akan terus berperanan sebagai jambatan dalam memperkukuh hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan, di samping memastikan suara, aspirasi dan keperluan rakyat negeri ini sentiasa berada dalam agenda utama Kerajaan MADANI.