Enakmen Baharu Islam Akan Diusul Ke DUN – Arifin

Enakmen Baharu Islam Akan Diusul Ke DUN – Arifin

0
SHARE
Arifin
Fahmi (duduk) tengah, Ahadin (duduk, kiri) dan Ariffin (duduk, kanan) bergambar kenangan di Dewan Bicara ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Beberapa enakmen baharu berkaitan perundangan Islam akan diusul ke Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata perkara tersebut kini sedang disusun di peringkat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Negeri Sabah (JAKTUS) yang dipengerusikan oleh Peguam Besar Negeri Sabah dan apabila selesai akan dikemukakan pertengahan tahun ini.

“Dijangkakan pada tahun ini, satu atau dua cadangan akan dibentangkan dan selebihnya akan dibincangkan kelak,” katanya kepada media selepas sesi taklimat di Mahkamah Syariah Kota Kinabalu, pada Selasa.

Pada sesi taklimat tersebut, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Ahadin Arinen memaklumkan cadangan beberapa enakmen baharu iaitu Enakmen Mahkamah Syariah 2024, Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dan Enakmen Pewarisan Harta Pusaka Islam 2024.

Sementara itu, Ariffin juga berkata Sabah akan mengadakan perbincangan dan berkolaborasi dengan Selangor khususnya dalam bidang pengurusan, pemakmuran dan pemerkasaan zakat serta wakaf.

“Mudah-mudahan selepas ini akan ada hubungan bersama dari sudut kementerian dan jabatan yang mana Selangor juga ke hadapan dalam bidang sains dan teknologi, oleh itu kita akan banyak belajar daripada Selangor,” ujarnya.

Turut hadir Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar. — JABATAN PENERANGAN SABAH