KOTA KINABALU, SABAH – Negeri Sabah melaporkan trend penurunan kes positif baharu COVID-19 selama tiga (3) hari berturut-turut dengan 283 kes terkini yang dilaporkan semalam (Isnin).
Berbanding sebelumnya, sebanyak 333 kes telah dilaporkan pada Ahad lalu dan ini menunjukkan sedikit penurunan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak dua kematian dilaporkan hari ini, iaitu satu di Hospital Queen Elizabeth dan satu di Hospital Tawau.
![](https://sabahnews.com.my/wp-content/uploads/2020/11/masidi.jpg)
Daripada 283 kes baharu itu, Tuaran mencatatkan kes tertinggi dengan 50 kes, diikuti dengan Kota Kinabalu yang mempunyai 49 kes.
Manakala, Sandakan (41), Penampang (39), Lahad Datu (37), Tawau (31), Putatan (10), Papar (8), Kalabakan (8), Kota Belud (4), Semporna (4) dan Kinabatangan (2).
Daerah Pitas bertukar dari zon merah kepada jingga.
Kes yang tinggi di Tuaran itu disumbangkan dari kluster Ria-30 yang dikesan di Taman Telipok Ria.
![](https://sabahnews.com.my/wp-content/uploads/2020/12/sabahcovid-14-Dis.jpeg)
Katanya, daripada keseluruhan kes baharu, sebanyak 155 kes dikesan dari saringan kontak rapat di 10 daerah, 64 kes dari saringan kluster-kluster sedia ada, saringan bergejala 36 kes, saringan komuniti enam kes dan 22 kes adalah dari lain-lain kategori.
Sementara, sebanyak 434 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 29,883 kes.
Setakat ini, sebanyak 33,111 kes COVID-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,143 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 614 orang di hospital dan 1,529 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Kumulatif kematian di Sabah menjadi 239 kes selepas mencatatkan dua (2) kes kematian kelmarin (Isnin)
Terdapat juga 61 orang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.