KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Sabah (SATTA) bersama lebih 18 persatuan pengendali pelancongan tempatan memberi sokongan padu terhadap inisiatif untuk membuka semula sempadan negeri Sabah.
Pengerusi SATTA, Datuk Seri Winston Liaw berkata, cadangan tersebut yang dikemukakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun baru-baru ini tepat bagi merancakkan semula ekonomi.
“Pembukaan semula sempadan dapat memulihkan aktiviti pelancongan serta membawa ekonomi negeri kembali seperti keadaan sebelum pandemik…
“Ini akan sekali gus meningkatkan pembangunan digital dan kemajuan teknologi seterusnya mempercepatkan pemulihan sektor-sektor perniagaan,” katanya.
Beliau turut mengesyorkan untuk mengurangkan tempoh kuarantin untuk kemudahan pelawat asing yang memasuki negeri ini.
“Tiada pengunjung yang mahu tinggal di hotel selama dua minggu…
Dengan kadar 90 peratus penduduk Sabah telah pun divaksin serta ujian COVID-19 wajib sebelum dan sebaik sahaja memasuki Sabah, risiko penularan wabak akan dikurangkan.
“Sudah tentu juga mana-mana pengembara akan meletakkan kesihatan diri sendiri sebagai keutamaan,” beliau berkata.
Pada masa yang sama, katanya, pematuhan kepada prosedur opearsi standard (SOP) perlindungan dan langkah pencegahan kepada COVID-19 yang diperketatkan turut boleh dikenakan kepada pelancong antarabangsa.
“Adalah menjadi harapan kami bahawa dengan pembukaan semula sempadan negara, semua sektor ekonomi termasuk perikanan, pelancongan, perlombongan, industri hiliran dan sektor pembinaan akan berjaya menarik pelaburan asing yang lebih besar,” jelasnya.
Menurut Winston, pemulihan ekonomi mampu dipercepatkan melalui semangat setiakawan yang kuat dan kesatuan hati rakyat Sabah.
“Kami percaya bahawa ekonomi akan pulih secara positif melalui perpaduan antara negeri dan negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji langkah Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah untuk membenarkan ‘dine-in’ dan rentas daerah lebih awal daripada Pelan Pemulihan Negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan tahun lalu.
“Kerajaan telah menyelamatkan beribu mata pencarian rakyat negeri ini dengan tindakan itu…
dan membuka sempadan negeri adalah langkah seterusnya yang wajar diambil,” tambahnya.
Negara China merupakan sumber utama sektor pelancongan Sabah. Pada tahun 2019, Sabah merekodkan 558,000 pelancong unik China ke Sabah, dengan lebih seratus penerbangan secara terus antara China dan Sabah yang berlepas setiap minggu.