SANDAKAN: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini melancarkan Destinasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) Kampung Bambangan, Batu Sapi, Sandakan, sebagai satu lagi inisiatif memperkukuh sektor pelancongan komuniti di Sabah.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, menerusi Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM).
Kampung Bambangan merupakan kluster pertama PPHM di Sandakan, menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan budaya dan gaya hidup tempatan, termasuk aktiviti berkelah di Jeti Lagenda, lawatan perusahaan ketam lembut, memancing di rumah pancing, serta River Cruise menyusuri Hutan Simpan Kabili-Sepilok.
Dalam ucapannya, Datuk Khairul Firdaus menzahirkan penghargaan kepada komuniti Kampung Bambangan atas semangat gotong-royong dan perpaduan yang mencerminkan nilai MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan dan hormat.
Beliau berkata, keterlibatan aktif penduduk dalam menyambut pelancong menunjukkan komitmen masyarakat tempatan dalam memperkukuh semangat hospitaliti dan keterangkuman sosial.
Sabah terus menunjukkan prestasi kukuh dalam sektor pelancongan komuniti dengan mencatat pendapatan RM15.1 juta pada 2024 hasil kehadiran 202,053 pelancong, manakala sehingga Ogos 2025, negeri ini telah merekodkan RM13.1 juta pendapatan dengan 161,318 pelancong.
Sabah kini mempunyai 39 kluster homestay, 135 kampung, 33 kampungstay, 525 peserta dan 7 koperasi aktif yang menjadi penggerak ekonomi pelancongan luar bandar.
Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), MOTAC akan terus memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti melalui latihan, promosi dan pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan daya saing sektor pelancongan luar bandar.
Menurut Datuk Khairul Firdaus, apabila pelancong datang ke Bambangan, mereka bukan sekadar melihat tempat, tetapi merasai kasih sayang, budaya dan keindahan komuniti Sabah yang sejati.






