SEGAMAT, JOHOR BAHRU – Majikan diminta peruntukkan masa yang ewajarnya kepada pekerja masing-masing untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini, demikian harapan Wanita UMNO dalam satu kenyataan semalam.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata jika 12 Mac adalah hari bekerja, majikan tidak perlu memberikan cuti khas kepada pekerja yang layak mengundi, sekadar tempoh yang munasabah untuk mereka menunaikan tanggungjawab berkenaan.
“Majikan mempunyai tanggungjawab tidak menghalang pekerja yang menjadi pengundi berdaftar mengundi pada hari berkenaan. Tempoh masa bersesuaian dan munasabah antara satu hingga dua jam boleh diberikan…
“Contohnya, sebahagian masuk bekerja lewat sedikit untuk mengundi pada sebelah pagi, menggunakan waktu rehat atau pulang awal dari pejabat, ladang, pasar raya atau kilang sebelum pusat pengundian ditutup,” katanya ketika ditemui di Pejabat UMNO Bahagian Segamat, di sini semalam.
Memetik laporan BH, Norshida berkata bahawa masalah lokasi pengundian jauh bukanlah bebanan bagi pihak majikan kerana sebagai pengundi yang bertanggungjawab, pekerja tentunya telah mengemas kini lokasi tempat pengundian terdekat berdasarkan alamat tempat tinggal terkini.
Dalam hal ini, katanya, pekerja turut perlu sedar serta memahami tanggungjawab kepada majikan dengan segera kembali bertugas sebaik selesai menunaikan tanggungjawab.
“Jika dua jam pelepasan diberikan, syarikat sudah pun kehilangan kira-kira 25 peratus produktiviti kerja. Namun, jika majikan dapat memberi kelonggaran yang tidak menjejaskan pengurusan serta produktiviti dengan ketara, pekerja yang bersetuju boleh mengambil cuti tahunan masing-masing untuk mengundi dengan selesa tanpa perlu mengejar masa.”
Katanya, makluman awal tarikh PRN juga membolehkan majikan serta pengundi mempunyai masa secukupnya merancang masa dan urusan berkaitan.
“Bagi penjawat awam di negeri ini, tiada masalah kerana tarikh mengundi adalah cuti hujung minggu bagi Johor,” katanya lagi.