Echoes Of Asean Bronze Jadi Penghubung Seni, Budaya

Echoes Of Asean Bronze Jadi Penghubung Seni, Budaya

0
SHARE
Christina
Christina (empat dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama penganjur ROK 2023 dan The Echoes Of Asean Bronze ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – The Echoes Of Asean Bronze berupaya menjadi landasan yang menghubungkan Sabah dengan negara-negara aggota ASEAN menerusi seni muzik dan budaya.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program budaya, keseniaan dan muzik kali ke-9 itu berjaya menghimpunkan 10 negara di rantau ini bersempena dengan penganjuran Rhythms Of Kinabalu (ROK) 2023.

“Acara tahunan yang dianjurkan sejak tahun 2012 ini penting dalam menyemarak dan menonjolkan seni muzik dan budaya serta keseniaan tradisi pelbagai etnik di Sabah.

“Antara lain tujuan penganjuran acara ini adalah untuk mempromosi dan mengangkat keunikan seni budaya setempat sekali gus memartabat dan memelihara warisan seni budaya dan etnik Sabah,” ujarnya.

Tambah beliau, selain menjadi landasan terbaik artis- artis tempatan mempamerkan lagu-lagu tempatan atau etnik terbaik, program itu juga dapat mendekatkan masyarakat melalui aktiviti seni dan budaya.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh usaha anggota negara ASEAN dalam usaha memartabatkan festival seni, budaya dan muzik sebagai identiti serta menggalakkan budaya menghormati sejarah, budaya, kesenian, adat resam dan nilai serta menyokong kepelbagaian budaya ASEAN.

Hajiji berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Rhythms Of Kinabalu (ROK) 2023 dan The Echoes Of Asean Bronze di Lintasan Deasoka, dekat sini, pada Sabtu.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Menurutnya, usaha terbabit juga menjadi testimoni menarik tentang bagaimana pertukaran budaya antara negara-negara ASEAN boleh memberi impak positif kepada masyarakat tempatan dalam menggerakkan sokongan untuk budaya dan industri kreatif serta potensi untuk melonjakkan produktiviti, penggunaan dan pekerjaan.

Untuk rekod, Sabah mempunyai lebih 30 kumpulan etnik dengan 217 kumpulan sub etnik dan dijolok sebagai destinasi menyelam terkemuka dunia beberapa kali dengan lebih 400 pulau untuk diterokai. — JABATAN PENERANGAN SABAH