Rhythms Of Kinabalu 2023 Penuh Warna Warni

Rhythms Of Kinabalu 2023 Penuh Warna Warni

0
SHARE
Rok
OTM memperkenalkan delegasi 10 buah negara yang menyertai The Echoes Of Asean Bronze bersempena penganjuran Rhythms Of Kinabalu (ROK) 2023 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Berlangsung selama 2 jam 30 minit, Majlis Perasmian Program Rhythms Of Kinabalu (ROK) 2023 dan The Echoes Of Asean Bronze yang dikemudi oleh dua personaliti terkenal Enn Xaviera dan Adam Shamil, berlangsung meriah penuh warna-warni.

Tirai perasmian acara tahunan kali kesembilan diadakan itu dibuka dengan persembahan Kumpulan Kesenian Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sabah dengan tarian etnik kreatif disusuli lagu, “Tangon” oleh penyanyi tempatan Dabra Sia dan kumpulan pemuzik traditional kontemporari, Tuni Sundatang.

Sebaik selesai acara perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah yang diwakili Menteri Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman, acara persembahan diteruskan dengan penampilan istimewa Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya Kuala Lumpur dengan lagu “Asean Fly”.

Sementara itu, ROK turut menampilkan Kombo RTM Sabah yang mengiringi beberapa penyanyi tempatan yang terkenal dalam segmen persembahan khas.

Antaranya, penyanyi, pelakon dan penyampai radio, Felix Agus menerusi lagu “Terbang” dan “Gaman Sayang Minan”, Michelle Gill Richard dengan lagu “Ralan Koposion” dan “Sunduan Doh Nabalu” serta Dabra Sia dengan lagunya, “Senyuman Sabahan” dan “Hanya di Sabah”.

Para pengunjung di Lintasan Deasoka semakin teruja apabila penyanyi lagu-lagu Bajau, Den Bisa muncul di pentas dengan dua lagu popularnya, “Siksa Pangentoman” dan “Lampa-Lampa Pisang”.

Tidak kurang hebat, alunan muzik yang disusun semula dengan kombinasi elemen muzik Borneo oleh Kumpulan Tompuvan X Sabah Sekafi Movement dengan rangkaian lagu “Last Hope” dan “Rise and Shine”.

Persembahan kumpulan muzik bambu yang tidak asing lagi di Sabah iaitu Suara Buluh Perindu juga tidak pernah menghampakan para peminatnya dengan susunan muzik yang terkini dalam lagu “Let’s Twist Again” dan “Manuk-Manuk Lambukun”.

Lagu yang kian viral, “Itew-Itew Juga” turut didendangkan secara live oleh penyanyinya, Osong diiringi backup dancer daripada kumpulan bimbingan seni cemerlang.

Aksi lincah Kumpulan Isohbatos serta nyanyiannya “Pangkis” dan “Aramaiti” mencuri tumpuan ribuan pengunjung Pasar Malam di Jalan Gaya yang turut merapat ke pentas utama Lintasan Deasoka, pada Sabtu.

Oleh itu, masyarakat sekitar Bandaraya Kota Kinabalu adalah dipelawa menyaksikan Konsert Khas The Echoes of ASEAN Bronze oleh delegasi ASEAN akan diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya secara percuma di lokasi sama mulai jam 7.30 malam ini (Ahad). — JABATAN PENERANGAN SABAH

Rok
OTM memperkenalkan delegasi 10 buah negara yang menyertai The Echoes Of Asean Bronze bersempena penganjuran Rhythms Of Kinabalu (ROK) 2023 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )