KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri menggesa lebih ramai usahawan di Sabah menghasilkan produk makanan halal yang bukan sekadar untuk pasaran tempatan, malah ke peringkat global.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah memiliki pelbagai produk makanan yang boleh diketengahkan oleh usahawan tempatan hingga ke peringkat lebih tinggi.
“Walaupun pembabitan usahawan termasuk perindustrian mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri makanan halal di negeri ini semakin bertambah, namun masih perlu terus dipergiatkan.
“Kita mahu melihat pembabitan lebih ramai usahawan baharu dan sedia ada juga perlu memanfaatkan sepenuhnya expo halal yang diadakan untuk meningkatkan dan meluaskan perniagaan mereka,” katanya pada Majlis Perasmian Expo Halal Sabah (SAHEX) dan Karnival Baurung-Urung di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim M.Yahya.
Dalam ucapannya, Hajiji memaklumkan kerajaan sangat mengambil perhatian mengenai pengurusan halal di negeri ini berikutan pasaran global industri halal dunia dijangkakan mencapai jumlah USD2.4 trilion pada 2024.
“Keprihatinan kerajaan dizahirkan melalui penubuhan Majlis Halal Sabah (MAHAS) yang berperanan sebagai badan rasmi kerajaan dalam membincang, mengkaji dan membuat keputusan isu-isu halal serta mencadang langkah baharu bagi membangun industri halal di negeri ini.
“Apa yang penting dalam pengurusan halal ialah semua pihak, jabatan dan agensi yang terlibat memberi tumpuan khusus kepada memperkasa aspek pensijilan halal khususnya kepada PMKS.
“Ini penting agar PMKS juga mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pasaran industri halal di negeri ini”, tambahnya.
Menyentuh Karnival Baurung-Urung, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penganjuran karnival itu bagi memupuk muafakat dan sikap toleransi dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama di negeri ini.
“Usaha berterusan perlu dilakukan untuk merancakkan sektor pelancongan dan karnival seumpama ini perlu dipromosikan sebagai salah satu produk untuk meningkatkan sumber pendapatan pelancongan negeri Sabah,” ujarnya.
Pada majlis itu diadakan juga pelancaran tiga buah buku terbitan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS), pameran jualan, majlis menandatangani MOU antara MUIS Holdings Sdn Bhd dengan SAHA Farm, Thailand dan penyampaian Anugerah Tokoh PMBS kepada Datuk Yusoff Mohd Kassim dan Datuk Dr Zaiton Ajamain.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS), Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Yang Di-Pertua MUIS, Datuk Yahya Hussin, Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Dato Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam. — JABATAN PENERANGAN SABAH