Kerajaan Perpaduan Kekal Utuh Sehingga Tamat Penggal

Kerajaan Perpaduan Kekal Utuh Sehingga Tamat Penggal

0
SHARE
Anwar
Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook Perdana Menteri )

KUALA LUMPUR – Parti komponen Kerajaan Perpaduan hari ini, terus menekankan komitmen memastikan keutuhan sehingga tamat tempoh lima tahun dan tidak melayan sebarang usaha untuk menggugat kedudukan pentadbiran.

Memetik sumber Berita Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua parti akan memainkan peranan masing-masing untuk menjamin kestabilan supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.

“Ini maknanya komitmen itu bertambah. Kita perkukuh Kerajaan Perpaduan sekarang dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya sangat terharu dan bangga dengan kenyataan daripada pimpinan yang menyatakan kesediaan mereka untuk terus memperkukuh dan mengelak desas-desus daripada golongan terdesak. Yang menggunakan sentimen perkauman sempit atau agama yang melulu, jumud dan kemudian memberikan gambaran seolah-olah ada perubahan.

“Apa yang disebut di sini mewakili majoriti besar Ahli Parlimen. Tetap dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sehingga lima tahun selesai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn di sini, semalam.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor; Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong; Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, semua parti termasuk daripada Sabah dan Sarawak komited untuk membantu jentera PRN, bukan hanya ketika hari penamaan calon tetapi juga ketika berkempen.

“Mereka komited untuk membantu calon yang akan bertanding atas asas penyatuan yang kukuh dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Abang Johari pula berkata, Sarawak akan memastikan Kerajaan Perpaduan kukuh dan memberi jaminan tiada peralihan kuasa melalui pertukaran kerajaan yang tidak berlandaskan demokrasi.

“Sebab itu kita di Sarawak, komited dan akan pertahankan perpaduan di peringkat nasional supaya Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan tanggungjawab seperti yang dikehendaki rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah akan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Anwar dan membantu jentera PRN.