Fokus Kenal Pasti Punca Kelewatan Projek Pembangunan Sabah

Fokus Kenal Pasti Punca Kelewatan Projek Pembangunan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Merinyu Projek (MenPro) Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, keutamaan awal pelantikannya adalah untuk memahami secara menyeluruh cabaran yang menyebabkan kelewatan projek pembangunan di seluruh negeri.

Menurut beliau, antara faktor dikenal pasti termasuk kelemahan perancangan, kekangan pentadbiran, keupayaan kontraktor, kenaikan kos pembinaan serta isu penyelarasan antara agensi berkaitan.

Pendekatan yang diambil bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya mengenal pasti cabaran dan mencari penyelesaian yang praktikal,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata setiap isu perlu ditangani segera supaya projek dapat diteruskan mengikut perancangan.

“Jika boleh diselesaikan, kita perlu bertindak segera. Jika projek terus terbantut walaupun pelbagai usaha diambil, keputusan sukar mungkin perlu dibuat.

“Keutamaan ialah memastikan projek disiapkan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan agenda pembangunan Sabah memerlukan komitmen, kerjasama, ketelusan dan akauntabiliti semua pihak, selain kerja berpasukan bagi memastikan pelaksanaan projek lebih cekap dan berkesan.