PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melaksanakan perolehan Multi Purpose Command Platform (MPCP) bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) di Semporna yang telah ditamatkan operasi selepas hampir sedekad berperanan sebagai benteng keselamatan perairan Sabah Timur.
Langkah itu diambil bagi memperkukuh kawalan maritim di Sabah yang strategik, selain menangani kos penyelenggaraan tinggi serta keperluan kepada aset lebih moden dan mobiliti tinggi.
Bagi pelaksanaan projek tersebut, Kerajaan Malaysia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Turkiye menerusi kerjasama Government-to-Government (G2G) melalui Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye.
Kerjasama itu turut merangkumi pemindahan teknologi, pelaburan fasiliti serta perkongsian kepakaran.
Platform MPCP itu akan dilengkapi sistem radar jarak jauh dan teknologi tanpa pemandu (UAV dan USV), serta berfungsi sebagai pangkalan hadapan bergerak bagi mempertingkat keupayaan tindak balas terhadap ancaman seperti penyeludupan dan pencerobohan.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerajui operasi dengan sokongan ESSCOM dan agensi penguatkuasaan lain di bawah pendekatan ‘Whole of Government and Whole of Society’ (WOGOS) bagi memperkukuh keselamatan perairan negara.






